Pengenalan
Kertas dan hasilan berasaskan kertas sangat penting dalam kehidupan. Hampir dalam semua urusan kita menggunakan kertas, samada di pejabat, pasaraya, restoran atau di bilik air. Di Malaysia sendiri penggunaan kertas telah mencapai dua juta tan metrik pada tahun 1996[1].
Kertas merupakan bahan utama dalam perakaman, penyimpanan dan penyebaran maklumat; malah ia telah menular masuk dan berkembang pesat dalam sektor-sektor perindustrian. Antara fungsi-fungsi kertas dalam kehidupan manusia ialah sebagai bahan pertanian, industri, bangunan, pencetakan, pendidikan, pembungkusan, perniagaan, pakaian, kesihatan, perjalanan dan hiburan.
Kegunaan:
a. Pertanian, industri, bangunan.bodplaster, dalaman pintu, karung, panel, kertas hias dinding, perabut, pelitup bumbung, kertas pasir, pemisah dalaman bateri
b. Percetakan, pendidikan
buku, surat khabar, majalah, buku latihan, katalog, kertas peperiksaan
c. Pembungkusan
bekas susu, label, sarung piring hitam, bungkusan makanan, kotak gelugur, uncang teh, penapis kopi
d. Perniagaan
kertas taip, kertas karbon, sampul surat, borang, sijil, kertas komputer, brosur
e. Pakaian, kesihatan
pelapik kasut, pelapik baju perubatan, lampin pakai buang, kertas tandas
f. Perjalanan, hiburan
tiket, papan baling damak, beg, kertas fotografi, kertas rokok, pas masuk
1.1 Papirus
Sebelum penciptaan kertas, bahan-bahan seperti kepingan tanah liat, tembikar, batu, kepingan logam, tulang, kayu, buluh, papirus dan kulit haiwan telah digunakan sebagai media untuk merakam, menyimpan dan menyebar maklumat. Kepingan-kepingan tanah liat sebagai media telah digunakan oleh orang-orang Sumerian, Babilon dan Mesopotamia. Skrol papirus pula digunakan oleh orang-orang Mesir, Gerek dan Rom. Skrol kulit haiwan, anak-anak kambing dan lembu, telah digunakan oleh orang-rang Parsi, Arab dan Yahudi semenjak 200 B.C. Sementara di Asia, kepingan-kepingan kecil kayu atau buluh dijadikan sebagai media maklumat[2].
Perkataan kertas adalah berasal dari perkataan Arab “Qirtas”, merujuk kepada kepingan papirus[3]. Bahasa Inggerisnya “paper” yang berasal dari perkataan Latin “papyrus”. “Papyrus” merupakan nama untuk tumbuhan air, Cyperus papyrus, yang digunakan oleh orang Mesir purba sebagai media tulis menulis semenjak 3000 B.C.
C. papyrus tumbuh di Mesir, Ethopia, Jordan dan Sicily. Ia membesar antara 1 hingga 3 meter tinggi. Orang Mesir Purba membuat papirus dengan menggunakan empulur yang disusun berselang-seli. Empulur-empulur ini dibasahkan dengan air, ditekan dan dijemur. Permukaannya dilicinkan dengan menggunakan gading atau kulit siput yang licin. Ukuran setiap kepingan papirus ini ialah diantara 12.5 x 22.5 cm hingga 22.5 x 37.5 cm. Ianya dibuat skrol yang panjang di antara 6 hingga 9 m[4].
1.2 China
Kertas mula-mula dicipta di negeri China. Perjumpaan-perjumpaan sejarah menunjukkan bahawa kertas telah digunakan semenjak tahun 327 B.C. Walau bagaimanapun penciptaan kertas dikreditkan kepada Ts’ai Lun pada tahun 105 A.D. Beliau merupakan sida di istana Han Timur milik Maharaja Ho Ti.
Kertas-kertas ini dibuat dari pulpa buluh dan kulit pokok mulberi. Potongan-potongan buluh dan mulberi direndam lebih kurang sepuluh hari dan kemudiannya direbus dalam air kapur selama lapan hari dan lapan malam untuk memisahkan gentian-gentian mereka[5].
Hampir 500 tahun seni pembuatan kertas terbatas di China. Pada tahun 610 A.D. ia telah diperkenalkan ke Jepun. Pada tahun 751 A.D. teknik membuat kertas tersebar ke Asia Barat apabila tentera-tentera Islam menawan tentera-tentera China dan beberapa bandar China yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan kertas[6]. Dalam tahun 793 A.D. Khalifah Empayar Abbasiah, Harun al-Rasyid, telah membuka perusahaan pembuatan kertas di Baghdad. Dari sini teknik pembuatan kertas telah merebak ke Mesir (900 A.D.), Maghribi (1100 A.D.), Sepanyol (1150 A.D.), Perancis (1190 A.D.), Itali (1270 A.D.), Jerman (1388 A.D.), England (1490 A.D.), Belanda (1586 A.D.) dan Amerika (1690 A.D.)[7].
1.3 Mayan
Pembuatan kertas juga telah dicipta oleh orang-orang Mayan di benua Amerika Tengah[8] (Mesoamerika) sebelum tahun 660 A.D. Kaum-kaum Maya, Toltec, Aztec dan Zapotec menggunakan gentian-gentian dari pokok-pokok Moraceae[9]. Kertas-kertas ini digunakan dalam upacara keagamaan, pentadbiran dan perniagaan. Teknik pembuatan kertas Mayan terhenti apabila ianya ditakluki oleh Sepanyol pada 1519[10].
1.4 Malaysia
Penduduk Malaysia mula mengenali kertas melalui pedagang-pedagang China dan Islam. Peniaga-peniaga dan pendakwah-pendakwah Islam telah membawa naskah-naskah al-quran yang ditulis di atas kertas. Penghijrah-penghijrah dari negeri China ke Tanah Malaya telah membawa teknik pembuatan kertas untuk kegunaan sanitasi dan keagamaan.
Pada tahun 1891, Sultan Johor telah memberi kebenaran pembinaan kilang pulpa. Baginda telah memberi satu kawasan untuk penanaman lalang dan satu kawasan untuk penebangan buluh, walau bagaimanapun projek ini tidak dijalankan. Pada tahun 1921 satu tinjauan telah dibuat di Perak untuk pembinaan kilang pulpa yang menggunakan buluh-buluh di kawasan Grik dan lalang-lalang yang tumbuh di kawasan-kawasan lain. Projek ini juga tidak dilaksanakan. Semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu, tentera Jepun telah membuka kilang pulpa. Kilang pulpa mekanik menggunakan kayu getah dan kilang pulpa kimia menggunakan buluh. Kilang pulpa ini ditutup setelah kekalahan Jepun dalam peperangan dunia kedua.
Rujukan:
[1] International Pulp and Paper Conference, 10 – 11 November 1997.[2] Encarta 97 Encyclopedia, Microsoft Corporation. (1996).[3] Azami, M.M. 1978. Studies in Early Hadith Literature.2nd edition. American Truth Pub. Indiana, USA.[4] Microsoft® Encarta® 97 Encyclopedia. © 1993-1996 Microsoft Corporation.[5] P&P Mag. Can., 82(4): 15, (1981).[6] Zakaria, N. 1992. Ciptaan dan Rekaan. Penerbit Prisma Sdn Bhd. Petaling Jaya. 70 m.s.[7] Clark, J.d’A. 1985. Pulp Technology and Treatment for Paper. 2nd edt. Miller-Freeman Pub. Inc. San Francisco.[8] Parham, R.A. 1983.The fibrous Nature of Pulp and Paper. In Pulp and Paper Manufacture Vol.1. 3rd edt. Ed. M.J. Kocurek. TAPPI Press. Atlanta.[9] Mark, R.E. 1983. Handbook of Physical and Mechanical Testing of Paper and Paperboard. Marcel Dekker, Inc. New York.[10] Mark, R.E. 1983.[11] P.T. Bin, K.K. Choon, L.T. Wan and Mohd Nor, M.Y. 1986. Pulp and Paper Industry and Research in Peninsular Malaysia. Malayan Forest Records No. 31. FRIM, Kepong.
No comments:
Post a Comment